weNGABANG with St Stephen Youth
Bau: Pada 19 April 2026, Kuching Archdiocesan Youth Commission (KAYC) telah mengadakan pertemuan bersama PYM St. Stephen serta CYM zon di bawah Paroki St. Stephen di Patag Commercial Centre, Kampung Serikin. Program weNgabang ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah lawatan KAYC yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara KAYC dan PYM.
Tradisi ngabang dalam masyarakat Dayak bukanlah sesuatu yang asing. Melalui program weNgabang ini, KAYC turut mengetengahkan elemen yang sama, iaitu jamuan makan bersama, berkongsi cerita, bertanya khabar, serta saling menguatkan dan memberi sokongan dalam pertumbuhan iman para belia.
Pelayanan dalam gereja, khususnya dalam pelayanan belia, bukanlah sesuatu yang mudah. Antara cabaran yang dikongsikan oleh saudara Albert Beko ialah belia masa kini berminat untuk menyertai program gereja, namun sukar untuk memberi komitmen dalam PYM atau CYM. Hal ini menyukarkan usaha untuk mencari pelapis pemimpin belia.
Bagi saudara Gabriel Fernandez pula, penganjuran program belia yang sering diadakan di kampung yang sama menjadi persoalan dalam kalangan segelintir belia. Isu ini timbul kerana hanya kampung tertentu sahaja yang bersedia memikul tanggungjawab sebagai penganjur atau tuan rumah.
Walau bagaimanapun, cabaran ini tidak mematahkan semangat belia Paroki St. Stephen untuk terus melayani. Saudari Aysha Samjun berkongsi bahawa pada tahun 2026, PYM St. Stephen memberi fokus kepada usaha memperkasakan belia CYM di peringkat zon dengan memberi peluang kepada mereka untuk menjalankan aktiviti sendiri, susulan penglibatan mereka dalam menjayakan Bau Catholic Youth Day pada tahun lalu.
Selain itu, mesyuarat dan program jelajah (outreach) PYM/CYM kini dijalankan di lokasi yang berbeza supaya setiap zon berpeluang menjadi tuan rumah serta menerima kunjungan belia dari kampung-kampung lain.
Asyha turut berkongsi bahawa kejayaan program belia berkait rapat dengan sokongan dan dorongan daripada paderi paroki, iaitu Fr. Peter Liston selaku penasihat rohani. Di samping itu, pemimpin belia masa kini perlu bersikap terbuka dalam menerima ahli baharu, sabar dalam membimbing, serta saling menguatkan dalam pelayanan agar generasi Gen Z berani tampil mencuba dan memimpin.
Saudari Christie Melly pula berkongsi bahawa pemimpin belia juga perlu peka terhadap trend semasa yang diminati golongan muda. Penggunaan platform seperti TikTok boleh menjadi salah satu medium yang efektif untuk menarik minat belia menyertai program gereja.

Program pada petang tersebut diakhiri dengan doa penutup serta pemberkatan oleh Fr. Ramon Borja, SDB. KAYC sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah hadir dan menjayakan program weNgabang ini. Semoga Tuhan memberkati.
Maria Amella (KAYC)

